Ada Apa Dengan Malam Nisfu Syaaban?...jom baca dan kongsikan bersama

loading...
Berkaitan Nisfu Syaaban dan amalannya, para ulama berselisih pendapat tentang keutamaannya. Terdapat dua pendapat yang terkenal mengenainya, iaitu:

#1 – Tidak Ada Keutamaan Khusus Pada Malam Nisfu Syaaban(Pendapat Pertama)

Kedudukan malamnya adalah sama dengan malam-malam biasa yang lainnya. Dikatakan semua dalil yang menyebutkan keutamaan malam Nisfu Syaaban adalah hadis lemah. Al Hafidz Abu Syamah mengatakan dalam kitabnya tentang bulan Syaaban;


“Para ulama ahli hadis dan pengkritik perawi berkata, ‘Tidak terdapat satupun hadis sahih yang menyebutkan keutamaan malam Nisfu Syaaban”(al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’)

Bahkan dikatakan terdapat beberapa hadis dhaif tentang keutamaan malam Nisfu Syaaban, yang tidak boleh dijadikan landasan. Adapun hadis yang menyebutkan keutamaan solat kesemuanya berstatus palsu.
#2 – Terdapat Keutamaan Khusus Pada Malam Nisfu Syaaban(Pendapat Kedua)

Pendapat ini berdasarkan hadis sahih dari Abu Musa al-Asyaari RA, iaitu Nabi SAW bersabda;


“Sesungguhnya Allah melihat pada malam pertengahan Syaaban. Maka Dia mengampuni semua makhluknya, kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan.”(Hadis Riwayat Ibn Majah, at-Thabrani, dan dishahihkan al-lbani)

Namun, setelah dibacarakan secara majoriti, pendapat yang dipegang oleh kebanyakan ulama dalam Madzhab Hanbali, adalah meyakini terdapat keutamaan pada malam Nisfu Syaaban. Ini juga sesuai keterangan Imam Ahmad selain adanya banyak hadis yang berkait dengan hal ini, serta dibenarkan oleh berbagai riwayat dari para sahabat dan tabi’in.
#3 – Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Beberapa kelebihan malam Nisfu Syaaban ada disebutkan dalam beberapa hadis. Malam Nisfu Syaaban juga adalah antara malam-malam yang dikabulkan doa. Berkata Imam Shafie di dalam kitabnya al-Umm;



“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: ‘Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban’.”

Berkata Imam Ghazali melalui kitabnya Ihya Ulum al-Din;


“Sesungguhnya sunat muakkad (sunat yang amat digalakkan) menghidupkan hari siang dan malam yang mempunyai kelebihan antaranya malam Nisfu Syaaban”

Oleh itu, para tabi’in ada menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan dua cara iaitu; Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu malam, lalu bersembahyang sunat dengan memakai wangian, bercelak mata dan memakai pakaian yang terbaik.

Kedua, sebahagiannya lagi melakukannya dengan bersembahyang sunat dan berdoa secara bersendirian.

Sesungguhnya cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban seperti yang dilakukan ini tidaklah pernah berlaku sewaktu Rasulullah SAW masih hidup, akan tetapi ia berlaku dan diamalkan pada zaman tabi’in dari penduduk Syam.

Di negara-negara Arab dan wilayah Nusantara, kebiasaanya dibacakan surah Yasin sebanyak tiga kali dengan setiap satu bacaan diniatkan dengan meminta doa sendirian, seperti yang diamalkan oleh generasi sebelumnya.

Amalan seperti ini tidaklah dinisbahkan kepada Rasulullah SAW, akan tetapi boleh dilakukan selagi ibadat tersebut tidak bertentangan dengan syarak dan akidah Islam.

Sehingga kini, masyarakat Islam menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan membaca al-Quran seperti membaca surah Yasin, berdoa serta berzikir dengan berhimpun di masjid-masjid atau di kediaman mereka sendiri.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan pada bulan Syaaban ini kerana kelebihan dan keutamaan yang ada pada bulan ini. Semoga setiap amalan kita pada bulan ini diterima oleh Allah SWT berserta rahmat dan keberkatanNya.
loading...
0 Komentar untuk "Ada Apa Dengan Malam Nisfu Syaaban?...jom baca dan kongsikan bersama"

 
Copyright © 2014 ISU sEMASA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info