loading...
Sesiapa pun mesti tidak pernah menyangka bahawa mereka boleh terkena penyakit kanser. Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan pemergian salah seorang artis terkenal, Ary Malik yang tewas setelah berjuang dengan penyakit kanser ovari atau kanser rahim.
Ramai yang menggelar kanser ovari sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana ia tidak menunjukkan sebarang tanda serius dan begitu cepat meragut nyawa. Lebih menakutkan, sumber menunjukkan bahawa ia boleh menyerang wanita seawal usia 26 tahun di Malaysia.
Kanser Ovari Sebenarnya Mudah Dikesan
Menurut Pakar Ginekologi Onkologi Hospital Serdang, Dr Andi Anggeriana Andi Asri menerusi MAKNA Malaysia (Majlis Kanser Nasional), kanser rahim adalah salah satu kanser yang mampu dikesan seawal tahap satu.
Tambah beliau lagi, bagi individu yang berusia di bawah 30 tahun, rawatan susulan mampu memberikan tahap penyembuhan pada kadar yang cepat serta tidak perlu menjalani pembedahan pembuangan rahim.
7 Tanda Kanser Ovari Yang Boleh Dikesan Awal
Berikut adalah tanda kanser rahim / ovari yang perlu diketahui oleh setiap wanita.
1. Pendarahan Selepas Menopaus
Antaranya simptom yang paling jelas, terutamanya selepas menopaus adalah berlakunya pendarahan. Kebiasaannya wanita mengambil mudah apabila selepas menopaus, mereka didatangi haid semula.
Sepatutnya wanita perlu membuat pemeriksaan sekiranya ia berlaku agar doktor dapat mengesahkan sama ada ia penyakit serius. Apabila dibiarkan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan, sel kanser boleh merebak ke tahap 4.
2. Haid Tidak Teratur Dan Banyak
Bagi yang belum menopaus, ambil perhatian sekiranya haid tiba-tiba keluar secara banyak dan berterusan. Perkara ini disebabkan oleh ovari yang gagal merembeskan hormon secara normal kerana aktivitinya yang terganggu.
Aliran haid berat ini juga boleh disebabkan oleh beberapa penyakit lain seperti fibroid atau polyp di uterus. Pendarahan teruk juga boleh berlaku selepas melakukan hubungan intim ataupun sudah menopaus.
3. Perut Tidak Selesa
Selain 2 tanda kanser rahim paling jelas di atas, sistem penghadaman juga turut terkesan kerana posisinya yang agak dekat. Perut akan terasa mudah kenyang dan kembung.
Sesetengah wanita mudah terasa loya dan mudah terkena sembelit. Jika perkara ini berlanjutan lebih dari tiga minggu, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan selanjutnya.
4. Mudah Letih
Walaupun sudah berehat lama, tetap berasa letih. Nafas menjadi singkat dan jantung berdegup lebih laju walaupun tidak melakukan aktiviti berat. Selama ini tidak pernah pula selesu ini.
Seperti yang dijelaskan oleh sumber laman web kesihatan, hal ini disebabkan oleh sel darah merah yang berkurangan berbanding sel darah putih. Kondisi inilah yang dinamakan anemia dan sering berlaku pada pesakit kanser.
5. Kerap Membuang Air Kecil
Minum air macam biasa. Nak dikata mengandung, tidak. Kenapa sejak-sejak ini terlalu kerap buang air kecil? Bukan sahaja selalu, malah sakit seperti rasa ketat dan pedih. Jangan berasa malu untuk mendapatkan nasihat doktor jika perkara ini berlarutan lebih dua minggu.
Walaubagaimanapun, tanda kanser rahim ini menyerupai juga beberapa penyakit lain yang kurang serius dan boleh dirawat dengan mudah.
6. Sakit Seakan Senggugut
Selain sakit perut kembung, sakit di sekitar pelvis seakan senggugut ketika haid juga adalah antara tanda kanser ovari. Sakit ini mungkin sebiasa sakit senggugut atau mungkin lebih teruk sehingga perlu berbaring dan ambil ubat tahan sakit.
Dapatkan nasihat pakar sekiranya sakit pelvis berlarutan walaupun selepas haid atau pada bila-bila masa.
7. Perubahan Berat Badan Secara Drastik
Jika selama ini kita bertubuh agak gempal dan turun berat badan tanpa senaman atau kawalan pemakanan, dapatkan rawatan segera terutamanya bila turun berat badan secara drastik.
Mengubah corak pemakanan kepada yang lebih sihat dan rutin senaman dapat mengurangkan risiko kanser.
Diagnosis Kanser Ovari
Menurut Hospital Metro yang menyediakan khidmat penjagaan kesihatan khusus bagi kaum wanita, terdapat satu ujian darah iaitu CA-125 yang boleh digunakan untuk mengesan paras CA-125 (sejenis protein yang parasnya meningkat di sel-sel ovari yang mengalami kanser).
Namun, ujian darah CA-125 semata-mata tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis kanser ovari. Pemeriksaan lain seperti ultrasound melalui vagina dan pemeriksaan pelvik mesti dilakukan agar mendapat keputusan yang lebih tepat.
Jangan Ambil Mudah
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom di atas, dapatkanlah nasihat doktor. Semak semula sekiranya tedapat ahli keluarga terdekat anda ada yang menghidap kanser payudara atau ovari.
Namun begitu, jangan terlalu panik jika anda menghadapi gejala-gejala di atas. Ada beberapa lagi penyakit yang menyerupai tanda kanser rahim seperti PCOS atau fibroid. Ujian saringan awal boleh dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.
Sumber: SirapLimau
loading...
0 Komentar untuk "7 Tanda Awal Kanser Ovari Yang Disangka Sakit Biasa. Wanita Kena Tahu!"