Penyakit SLE Menyerang Ramai Kaum Wanita. Apa Itu SLE??KONGSIKAN MOGA BERMANFAAT

loading...



Apakah SLE?

Sistemik lupus eritematosus (SLE), atau lupus, adalah penyakit kronik “autoimmune” di mana antibodi seseorang bertindakbalas dengan tisu badan seseorang pesakit itu sendiri. Ini menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, atau organ-organ lain di dalam badan. “Lupus” berasal dari perkataan Latin bererti “serigala”. (Ini adalah kerana seorang doktor Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala.)

Siapakah Yang Mendapat SLE?

Dianggarkan lebih kurang 90 peratus mereka yang mendapat SLE adalah kaum wanita, sementara 10 peratus yang lain merupakan kaum lelaki dan kanak-kanak. Bagi kaum wanita, SLE biasanya bermula semasa lingkungan umur boleh melahirkan anak, jarang sekali semasa kanak-kanak atau setelah putus haid.

Apakah Yang Menyebabkan SLE?

Walaupun SLE boleh menyerang beberapa orang ahli keluarga, “gene lupus” yang khusus belum lagi dikenalpasti. Kajian menyarankan ada beberapa “gene” mungkin boleh menentukan kebarangkalian seseorang itu diserang SLE. Gen ini juga dapat menentukan sama ada tisu atau organ yang terlibat serta tahap seriusnya penyakit SLE yang dialami. Bagaimana pun gen sahaja tidak sepenuhnya memainkan peranan. Sebaliknya para saintis sedang mengkaji faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada punca SLE. Antara sebab-sebabnya ialah sinaran cahaya matahari, tekanan emosi, pengambilan ubat-ubat tertentu, dan juga kuman virus.

SLE merupakan penyakit auto-imun yang terjadi apabila sistem daya tahanan badan menjadi bercelaru dan mula melawan tisu-tisunya sendiri. Puncanya tidak diketahui tetapi kemungkinan besar ia disebabkan oleh gabungan faktor-faktor keturunan, alam sekitar, serta hormon. Ia berlaku melalui pengeluaran auto-antibodi yang melawan sel-sel normal seseorang. Itu menyebabkan keradangan pada beberapa bahagian tubuh yang boleh merosakkan organ dan tisu.

Jenis antibodi yang lazim didapati dalam pengidap SLE dipanggil antibodi antinuklear (antinuclear antibody) kerana ia bertindakbalas dengan bahagian nukleus sel. Para saintis masih belum dapat memahami semua faktor yang menyebabkan keradangan dan kerosakan tisu dalam penyakit SLE.

Apakah Gejala-gejala SLE?

Setiap pesakit mempunyai gejala yang berbeza-beza, iaitu samada sederhana atau serius. Gejala ini juga boleh datang dan pergi. Namun gejala SLE yang lazim ialah sendi bengkak dan sakit (arthritis), demam yang tidak diketahui puncanya, dan keletihan yang amat sangat. Terdapat juga tompok-tompok merah (malar rash) di pipi dan hidung seperti bentuk “kupu-kupu”. Ruam juga boleh timbul di muka dan telinga, di bahagian atas kedua lengan dan tangan, bahu dan dada. Oleh kerana pengidap SLE sensitif kepada cahaya matahari (fotosensitif) tompok-tompok merah ini akan menjadi lebih teruk selepas terdedah kepada matahari. Samada seseorang itu mendapat gejala yang serius atau tidak berbeza dari seorang kepada seorang yang lain.

Ciri-ciri penyakit ialah:

•    Demam, keletihan, dan penurunan berat badan

•    Sakit dan bengkak sendi (arthritis) selama beberapa minggu

•    Tompok-tompok merah menyerupai kupu-kupu di pipi dan hidung

•    Tompok-tompok merah di kawasan kulit yang terdedah kepada sinaran matahari

•    Ulser di mulut dan hidung berlarutan lebih sebulan

•    Rambut gugur secara bertompok-tompok atau di sekeliling (hair line)

•    Sawan, strok dan gangguan mental

•    Risiko untuk mendapat darah beku

•    Kerap keguguran bayi

•    Darah atau protin dalam air kencing menunjukkan gangguan sistem buah pinggang

•    Bilangan sel darah putih atau sel darah merah rendah

Bagaimanakah SLE boleh dirawat?

Merawat SLE adalah merupakan satu cabaran. Rawatannya juga bergantung kepada gejala dan tahap penyakit yang dialami. Disebabkan pesakit SLE mengalami berbagai gejala kita akan dapat melihat pesakitnya di pelbagai klinik seperti di klinik rheumatologi, dermatologi, nefrologi, hematologi, neurologi dan psykiatrik. Untuk menentukan pesakit SLE dirawat dengan sempurna, pakar-pakar dari pelbagai disiplin perlu bergabung tenaga bagi merawat dan menghalang penyakit SLE dari terus semarak (flare) serta dapat mengawal komplikasi dan menghalang organ-organ yang diserang SLE dari terus rosak.

Bagaimana Untuk Mengesan SLE?

Untuk mengesahkan pesakit mengidap SLE bukanlah suatu yang mudah. Kadangkala para doktor mengambil masa yang lama berbulan atau bertahun untuk mengesan SLE. Itu pun jika pesakit datang secara berterusan kepada seorang doktor untuk mendapat rawatan. Dengan cara ini semua gejala dapat dikumpul dan direkodkan.

Fakta Ringkas

•    Kaum wanita berisiko lebih tinggi, iaitu 10 kali ganda mengidap SLE berbanding dengan kaum lelaki.

•    Rawatan SLE bergantung kepada jenis dan tahap gejala yang dialami.

•    Rawatan SLE biasanya memerlukan penglibatan beberapa pakar dari beberapa disiplin. Pesakit sendiri juga perlu bersikap positif untuk menerima rawatan.

SUMBER: FACEBOOK NADZHIR NIDZMAN &  PERSATUAN SLE MALAYSIA
loading...
0 Komentar untuk "Penyakit SLE Menyerang Ramai Kaum Wanita. Apa Itu SLE??KONGSIKAN MOGA BERMANFAAT"

 
Copyright © 2014 ISU sEMASA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info