Mari Fahami Perbezaan Antara Kerasukan & Sihir..Moga Bermanfaat

loading...
Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca sekalian,
Apa khabar? Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat. Alhamdulillah, bertemu lagi kita dalam artikel saya terbaru.
Baiklah, dalam penulisan kali ini, saya akan kongsikan dengan anda apakah perbezaan diantara kerasukan dan juga sihir. Semoga artikel ini bermanfaat untuk bacaan anda.
Setiap orang terkena sihir, itu bermaksud yang dia telah mengalami kerasukan, tetapi tidak sebaliknya. Sebelum saya menerangkan perbezaannya, suka untuk saya jelaskan persamaan antara keduanya terlebih dahulu.
Persamaan diantara kerasukan dan sihir ialah:
1) Orang yang kerasukan dan sihir keduanya adalah disebabkan oleh masuknya makhluk jin ke dalam badan dan menguasai manusia tersebut.
2) Orang yang kerasukan dan juga sihir, mereka akan merasakan adanya gangguan jin secara umum.
3) Orang yang mengalami kerasukan dan juga sihir, tiada satu penawar pun yang paling mujarab melainkan dengan merawat secara kaedah ruqyah syar’iyyah. Kaedah ini adalah terbukti yang paling berkesan. Kalau ke hospital pun, dijamin mereka tidak mampu merawat dengan kaedah rawatan moden.
4) Kerasukan dan sihir boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Bahkan berdasarkan hadis yang sahih, Rasulullah sendiri pernah disihir. Dan kedua-duanya boleh memberikan kesan kepada tubuh badan, akal, hati, perasaan, harta, keluarga, sahabat, baik dalam perkara dunia mahupun akhirat.
5) Kadang-kadang, kerasukan dan sihir itu hanyalah hanyalah sangkaan sahaja dan khayalan yang tidak wujud. Sebahagian orang hanya merasakan mereka kerasukan atau terkena sihir.
Kesemua persamaan yang saya kongsikan di atas akan dapat dirasai apabila berlakunya kedua-dua gangguan, iaitu kerasukan dan juga sihir. Manakala perbezaan diantara keduanya pula ialah:
1) Berlakunya kerasukan kepada manusia adalah disebabkan oleh gangguan dari jin itu sendiri. Manakala sihir pula berlaku adalah disebabkan oleh persepakatan diantara tukang sihir yang merupakan syaitan dari kalangan manusia dan juga syaitan dari kalangan jin. Tetapi perlu diyakini di sini jika berlakunya sihir itu, ianya adalah dengan kehendak dan izin dari Allah semata-mata.
2) Dari pengalaman saya dalam bidang rawatan Islam ini, boleh dikatakan hampir semua kes sihir berlaku adalah disebabkan adanya perasaan dendam, iri hati, marah, dengki dengan kejayaan orang lain yang menyebabkan seseorang itu melakukan sihir ke atas saudaranya. Sedangkan kerasukan berlaku adalah disebabkan jin yang merasuk itu sendiri yang ingin membalas dendam, rasa cinta yang mendalam kepada manusia, atau jin itu sendiri sengaja ingin mempermainkan manusia.
3) Kadang-kadang sihir itu berlaku di atas keinginan dan kemahuan tukang sihir itu sendiri. Dan ada sesetengahnya pula, tukang sihir itu melakukan sihir kerana diupah oleh orang lain atas sebab-sebab tertentu.
4) Kebanyakan kes kerasukan berlaku dikalangan mereka yang lalai dan selalu melakukan maksiat kepada Allah sehingga jin mampu untuk masuk ke dalam badan manusia dan menguasainya. Manakala kes sihir pula boleh berlaku ke atas mereka yang rajin melakukan ibadah dan bertaqwa kepada Allah. Oleh kerana itu jugalah, dengan izin dari Allah, Rasulullah s.a.w sendiri pernah disihir.
5) Jika jin yang dihantar oleh tukang sihir menyuruh jin tersebut keluar, ada sesetengah kes jin itu akan keluar dan ada sesetengahnya tidak akan keluar. Ini kerana jin itu memang berkhidmat dengan tukang sihir dengan meletakkan syarat.
Tetapi berbeza jika jin itu merasuk manusia. Jin tersebut masuk ke dalam tubuh badan manusia atas kehendaknya sendiri. Sebab itulah bila anda terkena sihir, jangan sekali-kali mendapatkan rawatan dari bomoh (tukang sihir). Ini kerana bomoh tersebut hanya akan melakukan penipuan kepada anda.
6) Ada sesetengah kes, jin yang masuk ke dalam badan manusia bertujuan menyihir ingin keluar dari badan manusia tersebut, tetapi dihalang oleh tukang sihir dengan ancaman untuk membunuhnya atau dengan ancaman yang lain. Sehingga jin itu tidak dapat keluar, kecuali jika Allah menghendaki. Berbeza dengan jin yang merasuk manusia, ia bebas untuk keluar dari tubuh badan manusia itu mengikut kehendaknya.
7) Tahap gangguan jin terhadap manusia samada sihir atau kerasukan adalah berbeza-beza. Jin yang melakukan sihir akan melakukan apa yang disuruh oleh tukang sihir walaupun suruhan tersebut boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Tetapi berbeza dengan jin yang merasuk manusia. Samada gangguan tersebut ringan atau berat, ia akan melakukan mengikut kehendak dan kemahuannya sendiri.
Sebelum saya mengakhiri penulisan artikel ini, saya nak jelaskan sedikit tentang tersihirnya Rasulullah s.a.w yang dilakukan oleh Labid bin A’sham yang diriwayatkan dari hadis-hadis yang sahih, diantaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari hadis Aishah r.ha.
Namun perlu diketahui di sini bahawa sihir tersebut tidaklah sampai mempengaruhi akal baginda, dan tidak pula mempengaruhi pada wahyu yang diturunkan kepadanya, namun hanya mempengaruhi tubuh badan baginda, di mana baginda tidak mampu mendekati isterinya selama enam bulan.
Wallahu ‘Alam.
Kredit info: Fadhli Ihsan
loading...
0 Komentar untuk "Mari Fahami Perbezaan Antara Kerasukan & Sihir..Moga Bermanfaat"

 
Copyright © 2014 ISU sEMASA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info