Pergi Kenduri Bawa Orang Yg TAK DIJEMPUT. Ini HUKUMNYA Yang Ramai Buat TAK TAHU !!! Mohon Sebarkan...

loading...
Mengadakan majlis jamuan dalam bahasa Arab disebut sebagai walimah. Walimah bermaksud setiap hidangan makanan yang diadakan atau disediakan atas sesuatu sebab atau sempena yang menggembirakan. Hukumnya adalah sunat kerana menzahirkan rasa syukur atas nikmat Allah yang diperolehi. 


Manakala mengadakan majlis atau undangan perkahwinan pula hukumnya sunat mu’akkadah kerana perkara ini sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun perkataan walimah seringkali digunakan dan lebih tersohor penggunaannya untuk majlis perkahwinan, ianya juga boleh digunakan untuk sebarang majlis yang lebih umum. Maka penggunaan perkataan walimah dalam irsyad ini lebih umum daripada walimah perkahwinan.


Barangsiapa yang menyediakan makanan, dengan niat menjamu seseorang, bolehlah memilih samada menghantar makanan tersebut ke rumah sesiapa yang ditentukannya atau dia menjemput atau mengundang tetamu tersebut hadir untuk menikmati hidangan yang disediakannya di rumahnya.
Di samping itu apabila ingin menjemput atau mengundang seorang tetamu, sunat juga menyertakan undangan untuk orang-orang yang rapat kepada tetamu tersebut. Bagaimanpun tetamu yang telah dijemput itu janganlah menolak (menghampakan) sesuatu undangan, sekalipun tuan punya majlis tidak mengizinkan sebahagian daripada sahabat tetamunya itu untuk hadir bersamanya.

Perlu diingat mana-mana orang yang ingin mengadakan hidangan makanan bagi satu jemaah (kumpulan), maka sesuaikanlah mengikut kadar jumlah mereka. Sekalipun dia tidak mampu menyediakan lebih dari itu, asalkan tidak kurang. Walau bagaimanapun, pembaziran hendaklah dielakkan kerana perbuatan tersebut dilarang oleh agama.

Hadir Tanpa Diundang

Istilah asal dalam bahasa Arab mengenai perbuatan hadir tanpa diundang disebut sebagai at-tathfil dari perkataan tathafful. Maka Thufaili ialah seorang tetamu yang hadir tanpa diundang atau dijemput yang dimansubkan kepada seorang lelaki yang berasal dari Kufah yang seringkali menghadiri majlis-majlis walimah tanpa dijemput.

Imam al-Baijuri Rahimahullah menyatakan adalah haram hukumnya menghadiri majlis tanpa diundang kecuali jika dia tahu tuan rumah itu berniat untuk bersedekah atau sebagainya redha dengan kehadirannya.

Jika sesuatu majlis itu dan tetamu yang diundang bersifat khas, maka wajib tetamu tersebut menghadiri undangan itu. Maksud tetamu yang bersifat khas di sini ialah tetamu yang telah ditentukan orangnya oleh tuan punya majlis atau wakilnya.

Adapun menghadiri suatu majlis khas tanpa dijemput, maka hukumnya adalah haram. Melainkan dia mengetahui tuan punya majlis itu redha dengan kehadirannya kerana di antara tuan majlis dan tetamu itu keduanya saling kenal-mengenali dan mempunyai hubungan yang rapat atau mesra.

Jika suatu majlis itu dan tetamu yang diundang bersifat umum, maka dalam keadaan ini tidaklah termasuk dalam larangan. Maka tidak haram hukumnya dia hadir ke majlis tersebut walaupun tanpa undangan khas. Contohnya ialah:

Tuan rumah mengatakan pada seseorang: “Panggillah dan jemputlah sesiapa yang kamu mahu atau sesiapa yang kamu temui.”

Tuan rumah atau wakilnya membuka pintu rumahnya dan berkata: “Sesiapa saja boleh masuk dan hadir ke majlis ini.”

Membawa Individu Lain Yang Tidak Termasuk Dalam Undangan

Menurut Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu‘, antara adab makan dalam sesuatu jamuan, janganlah dia hadir dengan membawa teman yang tidak dijemput oleh tuan punya majlis. Andainya dia hadir dengan membawa seseorang bersamanya ke majlis tersebut, maka dia telah melakukan sesuatu yang buruk.

Jika tuan punya majlis telah membuat undangan bagi satu kumpulan yang telah ditentukan orang-orangnya, tiba-tiba hadir bersama mereka seorang lain yang tidak dijemput atau ditentukan, maka dalam hal ini dia tetap tidak termasuk dalam senarai tetamu yang diundang.

Berbeza jika tuan punya majlis mengatakan kepada wakil atau utusannya: “Jemputlah si Polan dan sesiapa yang ada bersamanya”. Maka bolehlah sesiapa yang ada bersama si Polan pada ketika itu hadir bersamanya.

Secara dasarnya, keizinan dan kebenaran dari tuan punya majlis untuk hadir adalah sangat penting dan sangat perlu, melainkan dia sudah mengetahui bahawa tuan punya majlis akan redha dengan kehadirannya.

Perkara ini pernah terjadi pada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri di mana Baginda telah dijemput untuk menikmati hidangan yang telah dimasak. Dalam undangan tersebut telah ditentukan siapa orangnya dan jumlahnya.

Riwayat daripada Abu Mas‘ud al-Anshari, dia menceritakan bahawa ada seorang lelaki dari golongan Anshar bernama Abu Syu‘aib yang mempunyai seorang pembantu yang menjual daging. Pada suatu hari Abu Syu‘aib memandang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia mengetahui dari wajah Baginda bahawa Baginda kelihatan lapar. Maka dia menyuruh pembantunya untuk menyediakan makanan untuk lima orang, kerana dia ingin mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai salah seorang dari lima orang tetamu yang diundangnya.

Maka pembantunya itu pun melaksanakan perintah itu. Kemudian dia diutus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengundang Baginda sebagai salah seorang dari lima orang (maksudnya tetamu yang diundang ada lima orang termasuk Rasulullah sendiri). Akan tetapi telah datang bersama-sama mereka seorang lagi (tidak termasuk antara tetamu yang diundang) dan ketika sampai di depan pintu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang ini ikut (datang) bersama kami, jadi terserahlah kepadamu, apakah engkau memberinya izin (untuk masuk) atau kalau engkau mahu dia harus pulang.”

Abu Syu‘aib menjawab: “Tidak! Bahkan aku memberinya izin wahai Rasulullah!” (Hadis riwayat Muslim) 

Dalam riwayat yang lain daripada Abu Mu‘awiyah:

Maksudnya: “Telah ikut (datang) bersama-sama kami seorang lelaki. Dia tiada bersama kami pada ketika kamu mengundang kami.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan mafhum daripada hadis di atas, Ibnu Hajar al-‘Asqalani menbuat kesimpulan dengan beberapa perkara, iaitu: 

Barangsiapa hadir tanpa diundang, maka tuan majlis boleh memilih untuk menegahnya. Jika dia masuk tanpa izin, maka tuan majlis boleh mengeluarkannya atau menghalangnya. 

Berdasarkan perbuatan lelaki yang ikut serta bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis di atas, hadir tanpa diundang pada asalnya adalah tidak ditegah dan Baginda tidak pula menyuruhnya pulang. Ada kemungkinan dia akan diterima dengan baik dan diizinkan masuk, terpulang kepada kebijaksanaan, kebaikan hati dan budi bicara tuan majlis tersebut. 

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta izin daripada Abu Syu‘aib kerana membawa seseorang yang tidak dijemput untuk memberi kebaikan pada dirinya. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah mengetahui bahawa Abu Syu‘aib tidak menghalang atau menegah kehadiran lelaki yang tidak diundang itu. 

Ini berdasarkan dari hadis riwayat Abu Mu‘awiyah, tentang adanya isyarat atau pertanda bahawa jika lelaki itu berada dalam kumpulan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika kumpulan itu diundang, maka tidak perlu lagi meminta izin kerana sudah pasti dia akan diundang sama.

Sekiranya tetamu datang dengan membawa orang lain yang tidak dijemput, lalu tetamu tersebut pun meminta izin untuknya, maka sebaiknya izinkanlah orang yang tidak dijemput itu masuk sepertimana yang telah dilakukan oleh Abu Syu‘aib kerana itu adalah sebahagian dari makarim al-akhlak (akhlak yang terpuji). 

Dilarang mengikut tetamu lain ke suatu majlis melainkan dia tahu tuan punya majlis redha dengan kehadirannya. 

Kehadiran seseorang tanpa keizinan, kebenaran atau pengetahuan tuan punya majlis, maka makanan yang dimakan oleh tetamu yang tidak diundang itu umpama memakan sesuatu yang haram. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Maksudnya: “Barangsiapa diundang, lalu dia tidak memenuhi undangan itu, sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa masuk (ke majlis) tanpa diundang, maka dia masuk sebagai pencuri dan dia keluar sebagai perampas harta orang.”(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Enggan Menerima Individu Lain Sebagai Tetamu 

Telah diriwayatkan dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang daripada jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang bangsa Parsi yang pandai memasak. Maka pada suatu hari dia menyediakan suatu masakan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kemudiannya dia datang untuk mengundang Baginda menikmati masakan tersebut. Kebetulan isteri Baginda, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, berada bersama-sama Baginda pada ketika itu.

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bertanya: “Dan dia ini?” (Baginda menunjuk kepada ‘Aisyah). Orang itu menjawab: “Tidak!”

Baginda pun bersabda: “Tidak!” Lalu orang (jiran) itu pun mengulangi undangannya.

Baginda masih bertanya: “Dan dia ini?” Orang (jiran) itu menjawab: “Tidak!”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Tidak!” (Ertinya Baginda tidak mahu memenuhi undangan itu kalau ‘Aisyah tidak diundang bersama). Sekali lagi dia mengulangi undangannya dan Baginda bertanya lagi: “Dan dia ini?”

Maka pada kali yang ketiga orang (jiran) itu pun menjawab: “Ya!” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ‘Aisyah pun berdiri dan segera mengikut orang itu sehingga mereka berdua sampai ke rumahnya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Adapun mafhum dari hadis di atas, antara sebab jiran Rasulullah itu enggan mengizinkan ‘Aisyah hadir kerana berkemungkinan dia telah menyediakan makanan yang cukup untuk seorang sahaja iaitu untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekiranya dia mengizinkan ‘Aisyah hadir, dia khuatir makanan itu tidak akan mencukupi untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Enggan Hadir Melainkan Membawa Teman

Keengganan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri undangan jiran Baginda tidak menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menolak terus dari menghadirinya.

Berkemungkinan Baginda enggan datang sendirian dan meminta ‘Aisyah dibawa bersama kerana:

Perbuatan atau undangan jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbeza dengan perbuatan pembantu Abu Syu‘aib, kerana pembantunya telah menjemput Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berserta orang-orang yang rapat dengan Baginda. Manakala jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya menjemput Baginda seorang sahaja sedangkan ‘Aisyah ada bersama Baginda pada ketika itu. Oleh kerana itu Baginda enggan memenuhi undangan tersebut melainkan ‘Aisyah turut sama diundang.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui bahawa ‘Aisyah ingin untuk menikmati hidangan tersebut.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suka kalau ‘Aisyah menemani Baginda makan makanan tersebut.

Kesimpulan

Apabila membuat undangan sebaiknya pastikanlah dengan jelas tetamu yang akan dijemput, samada berbentuk khusus atau umum, agar tidak timbul keraguan di hati mereka untuk menghadirinya.

Manakala dari pihak yang diundang (tetamu), memenuhi undangan dan menghadirinya akan menerbitkan rasa gembira di hati orang yang menjemput tersebut, di samping mengeratkan dan menyuburkan lagi silaturrahim sesama tetamu yang lainnya.

Oleh kerana itu menghadiri walimah adalah wajib kecuali atas sesuatu sebab atau keuzuran, samada dia dijemput ke majlis itu oleh tuan punya majlis itu sendiri, atau melalui wakilnya yang dipercayai, atau melalui utusan seorang yang mumayyiz yang tidak diragui kejujurannya (tidak mungkin berbohong).

Menghadiri walimah tanpa diundang pula boleh mengakibatkan ketidak selesaan, perasaan serba salah dan mungkin juga kesusahan kepada tuan punya majlis terutamanya mengenai persediaan yang telah dibuat. Sebagai contoh, orang yang mengundang hanya mampu menyediakan jemputan bagi 10 orang sedangkan yang hadir melebihi daripada had yang telah ditentukan. 

Perkara sedemikian ini boleh mengakibatkan ketidak-selesaan kepada yang mengundang. Walau bagaimanapun bagi orang yang mengundang adalah lebih elok menerima sahaja tetamu yang tidak diundang itu kerana ia adalah sebahagian dari makarim al-akhlak (akhlak yang terpuji). Maka adalah menjadi ingatan bahawa perilaku hadir tanpa diundang digambarkan sebagai sesuatu yang buruk dan perlu dihindari. Oleh itu, perbuatan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya, jangan sampai ianya dipandang ringan, sambil lewa serta kurang penting.
loading...
0 Komentar untuk "Pergi Kenduri Bawa Orang Yg TAK DIJEMPUT. Ini HUKUMNYA Yang Ramai Buat TAK TAHU !!! Mohon Sebarkan..."

 
Copyright © 2014 ISU sEMASA - All Rights Reserved
Template By Catatan Info